Cinta. Perasaan yang sukar untuk diungkapkan dan membawa erti yang cukup besar. Cinta boleh membawa kebahagiaan. Cinta juga boleh membawa perpecahan. Siapa yang bersalah ? Cintakah yang bersalah ? Apakah kuasa cinta dalam menyatukan manusia atau sebaliknya ?
Cinta itu kadangkala indah. Perasaan itu membawa kita terbang ke suatu tempat yang indah. Penuh warna. Hingga si pemilik cinta merasakan kebahagiaan yang mampu membuatnya tersenyum. Membuat waktu menjadi singkat. Hari-hari yang dilalui dengan keceriaan.
Si pemilik cinta akan merasa sangat selamat dengan cinta. Merasa disayangi dan sentiasa diberi perhatian, seiring dengan fitrah kejadian manusia yang memerlukan kepada kasih sayang lawan jenis. Kasih sayang yang membawa kepada perkongsian hidup.
Kerana cinta juga, wujud permusuhan dan perpecahan. Atas nama cinta, berlakunya kemusnahan. Cinta yang dikhianati, cinta yang tak kesampaian, mampu untuk bertukar menjadi dendam jika tidak dikawal dengan iman.
Cinta, sesiapa yang sedang menikmatinya, harus bersedia untuk menerima akibat dari percintaan itu. Tatkala akar cinta dicabut, yang tinggal hanya bekas-bekas, perasaan itu amat perit. Tidak terucap dengan kata-kata. Sedang mekar bunga-bunga cinta, tiba-tiba akarnya rosak. Apa akan jadi pada bunganya ?
Saat terlerainya ikatan cinta, saat terlepas dari simpulan cinta, kita akan rebah, hilang arah. Terduduk tanpa ada yang mampu memapah. Tertinggal keseorangan didalam kota cinta yang penuh liku dan simpang. Sesat. Selama ini kita berpimpinan tangan berdua, tiba-tiba terpaksa berjalan sendirian. Samar tujuan.
Ujian cinta itu berat. Bila hati suci yang dipertaruhkan tanpa ada sedikit titik hitam pengkhianatan pun, tetapi terhempas ke lantai, berderai. Tinggal berseorangan mengutip sisa-sisa hati untuk membina semula kekuatan.
Ya. Cinta begitu subjektif. Adakah cinta itu agung ? Adakah cinta itu sampah ? Adakah cinta itu virus ? Apabila cinta pada manusia melebihi cinta pada Allah, sekali terputus cinta tersebut, maka hilang terus tempat bergantung.
Jika cinta pada manusia adalah selepas cinta pada Allah dan rasul, hati yang telah dikhianati itu akan tetap kembali pada Allah. Hati itu akan kuat kebergantungannya pada Allah. Manusia itu seterusnya, tidaklah begitu kecewa dan terluka lantaran masih punya cinta pada Pencipta.
19 December 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment